Selamat jalan ukhti

Pagi ini saya menerima berita pemergian seorang "ukhti", kembali menemui Tuhannya. Innalillahi wa innahi rajiun.

"Ukhti" atau "akhawat" itu adalah panggilan kami untuk mereka yang menceburkan diri ke dalam lapangan dakwah islam, demi cita-cita untuk mengembalikan sistem khilafah islamiyyah. Panggilan ini untuk perempuan sahaja, "ukhti" itu untuk seorang atau singular, dan "akhawat" itu ramai atau plural. Bagi lelaki, panggilannya adalah "akhi" atau "ikhwah".  

Ukhti Ummirul Shahirah. Indah nama ini. Keindahan yang menceriakan banyak hati, sehingga pemergiannya menghapuskan banyak senyuman.

Saya tidak tahu bagaimana rupanya allahyarhamah ukhti ummi ini, kerana sepanjang hayatnya kami tidak pernah sekali pun bertemu. Hatta nama pun tidak pernah di dengar. Kami tidak kenal pun antara satu sama lain. Barangkali hari ini kalau saya menghadiri majlis pengebumiannya, semua orang akan memandang saya dengan pelik, "Orang asing ini daripada mana pula datangnya?". Ya mungkin sekali, kerana saya bukan sahaja orang luar bagi ukhti ummi, tetapi bagi kenalan-kenalannya juga.

Tapi peliknya, kenapa hati ini turut terasa tempias kesedihan atas pemergiaannya? Malah lebih sedih dari kesedihan menangisi pemergian ahli keluarga sendiri. Gilakah?

Jawapannya saya kira, ada pada panggilan yang diberi untuknya, "Ukhti". Itu bukan calang-calang panggilan.. itu panggilan untuk penolong-penolong agama Allah, arabnya disebut sebagai "Ansarullah". Merekalah yang bercita-cita menegakkan kembali khilafah islamiyyah, menakluki dunia dengan Islam. Itu cita-cita yang sangat besar! Yang hanya menjadi angan-angan mat jenin kalau tiada kesatuan di antara Ansarullah.

Maha Suci Allah, yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dia telah mengikat hati-hati Ansarullah ini dengan ikatan akidah, yang mewujudkan ukhuwwah yang begitu kuat dan kukuh. Ahhh indah sekali ukhuwwah ini. Yang paling indah di antara sekian banyak ikatan hubungan yang ada di dunia ini. Inilah ukhuwwah yang menghubungkan dua insan dengan iman. Inilah ukhuwwah yang mewujudkan rasa kepercayaan dan kasih sayang yang tinggi antara dua hati, walau baru pertama kali bertemu. Inilah ukhuwwah yang menghilangkan rasa 'seniority', sebaliknya menyuburkan rasa rendah hati dan berlapang dada. Inilah ukhuwwah yang tak betah melihat sesiapa sahaja terjerumus ke lembah dosa, ia mahu semua sama-sama ke syurga. Inilah ukhuwwah yang mewujudkan satu kesefahaman, walaupun sahabatnya itu jauh berbeza dengannya.

Inilah ukhuwwah yang menerbitkan cinta yang mendalam di hati setiap ikhwah akhawat untuk ihkwah akhawat yang lain. Meskipun tidak pernah berjumpa, tidak pernah saling mengenali.. tapi cinta ini memang sudah menguasai hati.

Cinta yang ada untuk Ukhti Ummi Shahirah, membuatkan hatiku rasa kehilangan..
Hari ini, kami kehilangan seorang lagi sahabat seperjuangan yang kami cintai kerana Allah..

Semoga rohmu tenang di sana, di sisi Tuhanmu yang kau cintai..
Ya ukhti, semoga inilah saat untuk kau berisitirehat setelah berhempas pulas berjuang di alam dunia ini..

*********

Ya Allah, sesungguhnya Engkau memang Maha Penyayang. Tali akidah yang Engkau gunakan untuk mengikat hati-hati para penolong-Mu ini telah mewujudkan kesatuan yang luar biasa hebat, yang sangat diperlukan untuk merealisasikan cita-cita besar.




p/s: dari sudut bahasa, "Ukti" & "Akhi" itu bermaksud saudaraku dan "Akhwat" dan "Ikhwah" pula bermaksud saudara-saudara. Hanya dikalangan kami sahaja panggilan-panggilan ini membawa maksud seperti yang dijelaskan di atas. Harap jangan keliru ya! =)

Maafkan aku, kawan

Maaf kawan
adanya aku ini
seperti tidak ada

Sejak tarbiyyah menyapa diri, aku perlahan-lahan mula memahami hakikat islam yang sebenar. Kefahaman ini menyingkap tabir jahiliyyah yang lama menutup mata hati, lantas terpancarlah cahaya keindahan islam yang memukau setiap jiwa yang cuba memahami. Cahaya kemilau itu menyuluh terang jalan menuju mardhatillah, sehingga tidak ada lagi alasan untuk tersesat melainkan diri sendiri yang tidak mahu sampai ke mardhatillah itu.

Saat kefahaman yang indah ini meresap masuk jauh ke dalam jiwa, daripada jiwa itu lahir semangat yang berkobar-kobar, yang mengalir ke seluruh urat darah, yang masuk ke setiap sel tubuh badan. Itulah semangat untuk berlumba-lumba mengejar mardhatillah! Itulah semangat untuk membangunkan negara islam di dalam diri dan di muka bumi! Itulah semangat mahu menjadi abid dan dai'e! 

Lalu ketika ini datanglah tawaran melamarku untuk bekerja di sini. Aku terima. Aku datang. Itulah aku yang kau lihat, melangkah masuk buat pertama kalinya ke sini, sebagai pekerja baru, juga kawan baru. Aku melihat diriku, pada saat itu memang datang sebagai pekerja dan kawan baru, tapi identiti yang lebih besar yang kusandang adalah seorang dai'e.. yang datang ke tempat baru dengan semangat berkobar-kobar ingin berkongsi betapa manisnya Islam yang kurasakan sejak tarbiyyah menyapaku.

Barangkali ada yang mahu bertanya "Untuk apa kau ingin berkongsi rasa? Bukankah kami di sini memang sudah islam, bukankah kami rasa apa yang kau rasa?". 

Tidak! Tidak! Tidak! Aku yakin kau tidak rasa apa yang aku rasa sekarang ini. Tapi, kau rasa apa yang aku rasa sebelum tarbiyyah menyapaku... kita tahu Islam itu benar, adil, menenangkan, lengkap, sesuai dengan fitrah manusia, indah dan banyak lagi.. tapi kita kurang memahami, apatah lagi merasai semua hakikat itu. Bagaimana aku tahu? kerana kita hidup dengan budaya yang sama, masyarakat yang sama, mentaliti yang sama, sistem yang sama, silibus pelajaran yang sama, zaman yang sama dan banyak lagi yang sama. Maka ketahuilah, sangat banyak yang aku bawa ke sini untuk aku kongsikan bersama kalian!

Aku ingin menjadi qudwah disini
Al-Quran bergerak yang dirujuk orang

atau aku jadi seperti si pembuat minyak wangi
disukai orang dengan harumannya

atau aku jadi benih yang darinya tumbuh pohon rendang
tempat orang berteduh dari panas terik mentari

Sudah lama aku di sini. Sudah lapan bulan. Tapi segala keinginanku masih belum tercapai lagi. Aku belum lagi berkongsi rasa indah ini. Belum lagi menjadi qudwah disini. Semuanya belum lagi! Bukan tiada peluang untuk aku merealisasikan keinginan ini, tapi acap kali saat peluang itu datang, ia terhalang dek kerana ilmuku yang masih cetek, pengalamanku yang terlalu sikit. Arrrgghhhhhh seringkali bila saja peluang itu pergi, aku dihujani sejuta penyesalan "Mengapa tadi aku tidak berkata begini?" "Mengapa tadi aku tidak terfikir akan ini?", "Mengapa tadi aku tidak berfikir seperti ini?", "Mengapa tadi aku tidak berbuat seperti ini?", atau "Alamak, mengapa aku tidak tahu akan ini??!!".. dan peluang yang sudah pergi itu jarang sekali mahu datang kembali.

Maaf kawan
adanya aku ini
seperti tidak ada

Aku tidak berkongsi rasa dengan kalian
Aku tidak menjadi qudwah kepada kalian
Aku bukan Al-Quran bergerak buat kalian
Aku tidak ada minyak wangi untuk kalian
Aku bukan benih yang tumbuh subur

Maaf kawan
adanya aku ini
seperti tidak ada

Aku tidak menyumbang apa pun pada kalian
bahkan kalian yang banyak mengajarku
bahawa untuk mengejar mardhatillah itu
tidak cukup hanya dengan kaya semangat
tapi miskin ilmu dan kefahaman

terima kasih
untuk pengalaman berharga ini
bekalku untuk terus mengejar cita

dan sekali lagi maaf
adanya aku seperti tidak ada
ku doakan semoga hidayah Allah itu menyapamu
dan pasti akan menyapamu kalau kau mencari
dan saat itu kau akan merasai manisnya apa yang kurasa
Related Posts with Thumbnails