Lelaki asid: Apa kata Al-Quran?

Dua hari ini, saya terpaksa menaiki kenderaan awam untuk ke tempat kerja. Berlari-lari mengejar KTM Komuter, berhimpit-himpit macam dalam tin sardin, berpeluh-peluh bila sampai pejabat.. semua itu "Elleh, dah biasa dah!". Isu kecil saja. Isu besar sekarang adalah isu lelaki asid yang sedang menghantui wanita-wanita sekitar KL!

Grrrrrrrr.. disebabkan lelaki ini saya terpaksa berjalan dari stesen LRT STAR ke pejabat dengan hati yang berdebar-debar rasa nak tercabut. Mata tak lepas yang memandang setiap muka penunggang motor, takut-takut sama dengan muka suspek lelaki asid. Langkah diatur dengan sedaya upaya dielak daripada berjalan di gigi-gigi jalan, seboleh-bolehnya berjalan di lorong-lorong kaki lima.. yang pastinya lebih jauh daripada biasa. Bila sampai pejabat, rasa lega macam baru terlepas dari dibaham harimau lapar huhu. Alhamdulillah selamat sampai.. phewww!

Trend

Pertama kali saya mendengar tentang jenayah simbah asid ini adalah beberapa tahun lalu. Kes berlaku apabila seorang isteri mengamuk bila mendapat tahu suaminya ingin berkahwin lain. Akibatnya, sang isteri menyimbah asid ke muka suaminya, menyebabkan suaminya cacat kekal. Sejak itu, simbah asid bagaikan idea baru untuk berlaku untuk menzahirkan rasa marah, dendam atau tidak puas hati. Sana sini banyak amarah yang dilempiaskan dengan menyimbah asid ke muka orang yang dibenci. Tiru meniru mungkin. Sehingga dewasa kini, asid digunakan untuk melakukan jenayah bersiri, yang entah apa motifnya.

Cerita jenayah dalam Quran

Barangkali apa yang berlaku kini adalah kesilapan kita juga. Kerana kita banyak mendedahkan kes jenayah atau perbuatan jahat secara terperinci di dada akhbar, televisyen, komik penyiasatan, filem dan banyak lagi wadah media massa. Mari lihat bagaimana Allah menceritakan jenayah yang dilakukan oleh abang-abang Nabi Yusuf as terhadap adik mereka, Nabi Yusuf as.

Surah Yusuf, 12: 7-18

[7] Demi sesungguhnya! (Kisah) Nabi Yusuf dengan saudara-saudaranya itu mengandungi beberapa pengajaran bagi orang-orang yang bertanya (tentang hal mereka untuk mengambil iktibar). 

[8(Kisah itu bermula) ketika saudara-saudara Yusuf berkata (sesama sendiri): "Sesungguhnya Yusuf dan adiknya, lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu kumpulan (yang ramai dan berguna). Sesungguhnya bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata."

[9(Ramai di antara mereka berkata):" Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata, dan supaya kamu sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna".

[10] Salah seorang di antara mereka berkata: "Janganlah kamu membunuh Yusuf, tetapi buanglah dia ke dalam pergi, supaya ia dipungut oleh sebahagian dari orang-orang musafir (yang lalu di situ), kalaulah kamu tetap hendak menjalankan rancangan kamu itu".

Kisah dimulakan dengan menceritakan rasa tidak puas hati abang-abang Nabi Yusuf terhadap Nabi Yusuf, walhal Nabi Yusuf pada ketika itu masih kecil dan sudah selayaknya mendapat perhatian ayah yang lebih daripada abang-abang yang sudah besar dan sudah pandai mengurus diri sendiri. Kisah dilanjutkan dengan rancangan para abang untuk menghapuskan Nabi Yusuf dari keluarga mereka agar perhatian sang ayah sudah tidak ada lagi untuk adik mereka Yusuf.

[11] Mereka pun (pergi berjumpa dengan bapa mereka lalu) berkata: Wahai ayah kami! Mengapa ayah tidak percaya kepada kami tentang Yusuf, padahal sesungguhnya kami sentiasa tulus ikhlas mengambil berat kepadanya?

[12] Biarkan dia pergi bersama-sama kami esok, supaya ia bersuka ria makan minum dan bermain-main dengan bebasnya; dan sesungguhnya kami akan menjaganya dengan sebaik-baiknya".

[13] Bapa mereka menjawab: "Permergian kamu membawanya bersama sangatlah mendukacitakan daku, dan aku pula bimbang ia akan dimakan oleh serigala, ketika kamu lalai dari mengawalnya ".

[14] Mereka berkata: "Kalau dia dimakan oleh serigala, sedang kami ramai bilangannya, sesungguhnya kami sudah tentu menjadilah orang-orang yang rugi".

Kisah diteruskan dengan penceritaan panjang lebar tentang bagaimana abang-abang Nabi Yusuf berusaha keraas untuk memujuk ayah mereka, Nabi Yakub, agar membenarkan mereka membawa adik kecil mereka Nabi Yusuf keluar bermain-main. Segala kata-kata manis ditaburkan agar ayah mereka bersetuju.

[15] Setelah mereka pergi dengan membawanya bersama dan setelah mereka sekata hendak melepaskan dia ke dalam perigi, (mereka pun melakukan yang demikian), dan kami pula ilhamkan kepadanya:" Sesungguhnya engkau (wahai Yusuf, akan terselamat, dan) akan memberi tahu mereka tentang hal perbuatan mereka ini, sedang mereka tidak sedar (dan tidak mengingatinya lagi) ".

Lihatlah ayat 15 ini, bagaimana Allah menceritakan perihal jenayah yang berlaku dengan terlalu ringkas, tersangat ringkas jika dibandingkan dengan perincian rasa dendam, rancangan jahat yang diatur dan bujukan-bujukan si abang untuk mendapat izin ayah seperti yang terlihat pada ayat-ayat sebelumnya. Yang kita tahu daripada ayat ini hanyalah Yusuf yang berjaya dibawa keluar dan kemudian dijatuhkan kedalam perigi. Kemudian Allah memberi ilham kepada Yusuf.

Bagaimana Yusuf dijatuhkan? Maaf, ia tidak diceritakan. Nah! beginilah Al-Quran mengajarkan bagaimana untuk bercerita tentang perbuatan jahat yang berlaku. Perihal bagaimana perbuatan jahat itu dilakukan tidak diperincikan, agar orang-orang yang mempunyai penyakit di dalam hatinya tidak mendapat idea untuk melakukan kejahatan daripada cerita-cerita sebegini. Yang ada dari kisah Al-Quran ini adalah pelajaran ke arah kebaikan, bukan pelajaran ke arah kejahatan.

Mari muhasabah, apa yang telah didedahkan kepada masyarakat sekarang?

Belajarlah dari Al-Quran.. kerana hanya disitu letaknya kunci kesejahteraan dan keharmonian sejagat!

Credit

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails