Maaf kawan
adanya aku ini
seperti tidak ada
Sejak tarbiyyah menyapa diri, aku perlahan-lahan mula memahami hakikat islam yang sebenar. Kefahaman ini menyingkap tabir jahiliyyah yang lama menutup mata hati, lantas terpancarlah cahaya keindahan islam yang memukau setiap jiwa yang cuba memahami. Cahaya kemilau itu menyuluh terang jalan menuju mardhatillah, sehingga tidak ada lagi alasan untuk tersesat melainkan diri sendiri yang tidak mahu sampai ke mardhatillah itu.
Saat kefahaman yang indah ini meresap masuk jauh ke dalam jiwa, daripada jiwa itu lahir semangat yang berkobar-kobar, yang mengalir ke seluruh urat darah, yang masuk ke setiap sel tubuh badan. Itulah semangat untuk berlumba-lumba mengejar mardhatillah! Itulah semangat untuk membangunkan negara islam di dalam diri dan di muka bumi! Itulah semangat mahu menjadi abid dan dai'e!
Lalu ketika ini datanglah tawaran melamarku untuk bekerja di sini. Aku terima. Aku datang. Itulah aku yang kau lihat, melangkah masuk buat pertama kalinya ke sini, sebagai pekerja baru, juga kawan baru. Aku melihat diriku, pada saat itu memang datang sebagai pekerja dan kawan baru, tapi identiti yang lebih besar yang kusandang adalah seorang dai'e.. yang datang ke tempat baru dengan semangat berkobar-kobar ingin berkongsi betapa manisnya Islam yang kurasakan sejak tarbiyyah menyapaku.
Barangkali ada yang mahu bertanya "Untuk apa kau ingin berkongsi rasa? Bukankah kami di sini memang sudah islam, bukankah kami rasa apa yang kau rasa?".
Tidak! Tidak! Tidak! Aku yakin kau tidak rasa apa yang aku rasa sekarang ini. Tapi, kau rasa apa yang aku rasa sebelum tarbiyyah menyapaku... kita tahu Islam itu benar, adil, menenangkan, lengkap, sesuai dengan fitrah manusia, indah dan banyak lagi.. tapi kita kurang memahami, apatah lagi merasai semua hakikat itu. Bagaimana aku tahu? kerana kita hidup dengan budaya yang sama, masyarakat yang sama, mentaliti yang sama, sistem yang sama, silibus pelajaran yang sama, zaman yang sama dan banyak lagi yang sama. Maka ketahuilah, sangat banyak yang aku bawa ke sini untuk aku kongsikan bersama kalian!
Aku ingin menjadi qudwah disini
Al-Quran bergerak yang dirujuk orang
atau aku jadi seperti si pembuat minyak wangi
disukai orang dengan harumannya
atau aku jadi benih yang darinya tumbuh pohon rendang
tempat orang berteduh dari panas terik mentari
Sudah lama aku di sini. Sudah lapan bulan. Tapi segala keinginanku masih belum tercapai lagi. Aku belum lagi berkongsi rasa indah ini. Belum lagi menjadi qudwah disini. Semuanya belum lagi! Bukan tiada peluang untuk aku merealisasikan keinginan ini, tapi acap kali saat peluang itu datang, ia terhalang dek kerana ilmuku yang masih cetek, pengalamanku yang terlalu sikit. Arrrgghhhhhh seringkali bila saja peluang itu pergi, aku dihujani sejuta penyesalan "Mengapa tadi aku tidak berkata begini?" "Mengapa tadi aku tidak terfikir akan ini?", "Mengapa tadi aku tidak berfikir seperti ini?", "Mengapa tadi aku tidak berbuat seperti ini?", atau "Alamak, mengapa aku tidak tahu akan ini??!!".. dan peluang yang sudah pergi itu jarang sekali mahu datang kembali.
Maaf kawan
adanya aku ini
seperti tidak ada
Aku tidak berkongsi rasa dengan kalian
Aku tidak menjadi qudwah kepada kalian
Aku bukan Al-Quran bergerak buat kalian
Aku tidak ada minyak wangi untuk kalian
Aku bukan benih yang tumbuh subur
Maaf kawan
adanya aku ini
seperti tidak ada
Aku tidak menyumbang apa pun pada kalian
bahkan kalian yang banyak mengajarku
bahawa untuk mengejar mardhatillah itu
tidak cukup hanya dengan kaya semangat
tapi miskin ilmu dan kefahaman
terima kasih
untuk pengalaman berharga ini
bekalku untuk terus mengejar cita
dan sekali lagi maaf
adanya aku seperti tidak ada
ku doakan semoga hidayah Allah itu menyapamu
dan pasti akan menyapamu kalau kau mencari
dan saat itu kau akan merasai manisnya apa yang kurasa
No comments:
Post a Comment