Buta

Bekerja selama 9 jam dengan komputer yang langsung tidak ada sense of humour, ditambah pula dengan keadaan pejabat yang tertutup litup kerana memenuhi permintaan mak cik penghawa dingin yang cerewet dan sekaligus menghalang saya dari melihat alam semulajadi untuk merehatkan mata dan otak yang penat.. cukup untuk membuatkan saya tidak sabar-sabar menanti waktu pulang. Jam pejabat juga tidak mahu ketinggalan menguji kesabaran saya apabilah beliau lewat 5 minit dari waktu sebenar, memaksa saya bertahan sehingga jam 5.05 petang sebelum.. "Merdeka!! Balik dulu weyh!".

Bebas dari penjara pejabat, saya pun terus menuju ke kereta.. eh silap, ke stesen monorail. Nasib baiklah menunggu kedatangan abang monorail ini tidaklah seseksa seperti menunggu atuk KTM. Abang monorail akan datang paling lama pun dalam masa lima minit, tidak seperti atuk KTM.. aduuhh berjam-jam! Sebaik sahaja pintu monorail dibuka, saya terus meluru masuk.. risau tak dapat duduk huhu. Dapat duduk, yeah! Alhamdulillah. Eh, kakak sebelah ini buta..

Kakak ini diam sahaja sehinggalah terdengar suara juru cakap monorail "Stesen berikutnya, Hang Tuah", kakak ini mula bergerak-gerak tanda mahu keluar. Sebaik monorail berhenti dan pintu terbuka, kakak ini pun berdiri dan bergerak mengikut arus orang-orang yang mahu keluar.. dan akhirnya berjayalah beliau membebaskan diri dari perut monorail itu. Sekarang beliau tidak dapat lagi merasai arus manusia yang bergerak kerana ruang di luar monorail lebih besar. Lalu kakak ini pun mengeluarkan tongkatnya dan mula meneka arah mana yang harus ditujunya. Malangnya, arah yang ditujunya berlawanan dari arah yang sebenar. Tiba-tiba, ada tangan yang memegangnya, menyapanya mesra, lantas menuntunnya ke arah yang benar.

Agak-agaknya, apa akan jadi kalau kakak buta itu tidak mahu dituntun? Apa akan jadi kalau kakak ini tidak bersedia untuk dibantu? Seterusnya apa akan jadi kalau kakak ini tetap juga mahu meneruskan langkahnya, walaupun sudah diberitahu yang arah yang ditujunya itu salah, tetap dia tidak mahu berpatah balik? Apa akan jadi? Pasti kakak itu selamanya tidak akan pernah berjaya keluar dari stesen LRT tersebut..

Begitulah Allah menerangkan, melalui kalam-Nya di dalam surah Al-Baqarah, 2: 6 - 20. Juga dapat kita perhatikan pada ayat yang lain:
"Maka tidak pernahkah mereka berjalan di bumi, sehingga hati mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada" (Al-Hajj, 22: 46)

"Dan sesungguhnya Kami jadikan isi Neraka Jahannam kebanyakan jin dan manusia, mereka mempunyai hati tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat tanda-tanda kekuasaan Allah dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai" (Al-A'raf, 7: 179)

 
"Sungguh beruntung orang yang menyucikan (jiwa itu), dan sungguh rugi orang yang mengotorinya" (Asy-Syams, 91: 9-10)

Melalui ayat-ayat diatas, Allah menerangkan bahawa untuk menerima kebenaran, seseorang itu perlu terlebih dahulu membuka hatinya untuk kebenaran. Apabila dia telah membuka hatinya, maka dia bersedia untuk berubah bila sahaja kebenaran itu menuntutnya untuk berubah. Apabila dia telah membuka hatinya, dia tidak akan memberi sebarang alasan untuk menolak kebenaran atau menangguh-nangguhkan kebenaran yang sudah berada di depan mata! Jadi hanya apabila dia membuka hatinya untuk kebenaran, barulah dia beroleh kebenaran.

Maka, kalau kita melihat para ahli sains yang telah menemui kebenaran Al-Quran melalui bukti-bukti sains, tetapi masih tegar tidak mahu menerima Islam.. jangan hairan kerana kebenaran memang tidak akan masuk ke dalam hati yang tidak bersedia untuknya.

Juga kalau ada orang yang sudah pun diajarkan dengan agama islam sehingga berbuih mulut, tetapi masih lagi tidak mahu meninggalkan rutin dosa dan maksiat.. masih mahu meninggalkan solat, masih mahu bergaul bebas sesama bukan muhrim, masih mahu berpakaian ketat, masih mahu mengumpat, jangan hairan kerana awal-awal lagi mereka sudah menutup pintu hati untuk kebenaran.

Malah sangat banyak kita mendengar kisah orang-orang yang bertukar agama kepada Islam, yang mana mereka ini bermula sebagai orang-orang yang mencari-cari kebenaran, lantas mereka mencuba segala jenis agama sehingga mereka menemukan Islam sebagai ad-deen terbaik.  Tidakkah jelas, mereka ini adalah orang-orang yang membuka hati untuk kebenaran, lalu Allah pun menghadiahkan kebenaran itu kepada mereka =)

Untuk kita yang tidak mahu memperbaiki diri sebagai hamba dan khalifah Allah dari hari ke sehari.. hati-hati! Kerana itu petanda hati kita tertutup untuk kebenaran!

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails