Semalam saya mahu menambah kredit telefon melalui Maybank2u.com. Bagi yang tidak tahu, langkah untuk menambah kredit telefon melalui Maybank2u adalah semudah ABC chewah! Pertama, klik pada 'Buy Online', kemudian pilih samaada mahu kredit dimasukkan secara automatik ke akaun telefon atau pun secara manual dimana PIN number (nombor top up) akan diberi. Seterusnya adalah memilih talian sama ada Celcom, Maxis, atau selainnya. Kemudian, masukkan nombor telefon penerima bagi pilihan masukan kredit automatik, tidak perlu bagi yang memilih masukan manual. Kemudian, TAC number akan dihantar ke telefon pemilik akaun Maybank2u untuk pengesahan. Selesai pengesahan, urusan jual beli pun tamat. Tahniah, kredit telefon telah berjaya ditambah dari RM 0.01 menjadi RM 10.01!
Ok kembali kepada kisah saya. Pada cubaan pertama untuk menambah kredit, saya tidak menerima TAC number. Akibatnya, urusan saya terbatal secara automatik dan saya gagal menambah kredit. Tapi takpe, cuba lagi kali kedua. Kali kedua saya berjaya menerima TAC number dan urusan berjaya diselesaikan hingga akhirnya. Yeahh!! Saya memilih masukan kredit secara automatik, jadi sekarang saya hanya perlu tunggu kredit dimasukkan. Selalunya kredit akan dimasukkan sebaik sahaja urusan selesai. Peliknya, kredit saya masih belum dimasukkan walaupun hari sudah malam.
Maka kecohlah saya. Mengadu kat kakak ni. Mengadu kat kakak tu. Mengada-ngada haha!.
Kakak: "Awak confirm ke nombor telefon yang awak masukkan tu betul?"
Saya: "Confirm, saya dah cek banyak kali"
Kakak: "Meh, akak tolong cekkan lagi sekali. Urusniaga tadi ada direkodkan dalam akaun awak"
Maka, kakak menolong saya log in ke Maybank2U akaun, klik sana klik sini dan... jumpa rekod urusniaga tadi dan...........................................
RUPA-RUPANYA SAYA TERSILAP MEMASUKKAN NOMBOR TELEFON SENDIRI!!!!
No telefon saya ***-**84***, tapi yang saya masukkan ***-**48***. Huhu, apa lagi, kecohlah saya sekali lagi, mengadu dan mengada lagi. Heh!
Bukan milik saya
Berdasarkan rekod Maybank2u, sebenarnya saya telah pun memasukkan nombor telefon yang betul pada percubaan pertama. Tiada kesilapan, tapi gagal kerana tidak dapat TAC number. Percubaan kedua gagal, kerana nombor telefon salah, dan RM10 kredit itu mungkin telah pun masuk ke akaun telefon orang lain, menjadi rezekinya!
RM10 itu wang gaji saya bekerja, disimpan di dalam akaun bank saya. Tapi yang memberi rezeki itu adalah Allah. Dan rezeki itu boleh datang dari mana-mana arah, tidak semestinya dari apa yang saya miliki sahaja. Dan apa-apa sahaja yang saya miliki sekarang, tak semestinya ia adalah rezeki saya. Hatta nasi yang disuapkan ke mulut, ia boleh jatuh ke tanah sebelum sempat masuk ke mulut, dan menjadi rezeki kucing yang asyik mengiau di bawah meja.
Mungkin ini adalah peringatan dari Allah untuk saya. Supaya saya sentiasa ingat yang rezeki itu semuanya datang dari Allah, bukan dari manusia atau usaha saya. Dan supaya saya sentiasa bersyukur kepada Allah atas segala rezeki yang saya nikmati sekarang, kerana semuanya diberikan oleh-Nya!
Sesungguhnya seorang hamba itu, benar-benar bergantung kepada Tuhannya!
*Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya. Credit |
p/s: untuk adik-adik SPM 2010, macam mana keputusan SPM semalam? Bagaimanapun keputusannya, ingat itulah rezeki kita. Tawaran universiti nanti pun, bergantung pada rezeki yang Allah tentukan untuk kita, bukan bergantung pada keputusan kita. Jadi berusahalah sehabis baik untuk mendapat yang terbaik, kerana di situ ada pahala besar yang menanti. Kemudian bertawakkallah sepenuh hati kepada DIA YANG MAHA PEMBERI REZEKI. =)
sabar ye dik... itulah lesson pasal rezeki yg terus Allah beri.
ReplyDeletekalau kak penah hilang moto, hp masuk dlm air... padahal baru jer beli... terasa tarbiyah Allah lagi besar... kdg2 nak ckp jer, dah rezeki pencuri moto tue...tapi itu bukan rezeki dia, tapi bencana untuknya...